Fadillah dedah draf sebenar MoU peruntukan pembangkang

Sinar Harian
September 16, 2024 18:53 MYT
Menurut Fadillah, pendedahan bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Sehari selepas pembangkang sebulat suara menolak memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.
Menurutnya, tindakan ini diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.
"Memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan, maka dengan ini saya kemukakan dua draf perjanjian berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.
"Niat Kerajaan Madani ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.
"Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Media pada Ahad melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Hamzah berkata, MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kandungan dokumen yang mengandungi enam inti pati utama itu jelas membuktikan komitmen kerajaan terhadap MoU tersebut.
Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam inti pati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.
Turut terkandung dalam inti pati tersebut ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan aku janji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
"Selanjutnya, turut terdapat dalam draf tersebut ialah obligasi Kerajaan Persekutuan yang mana kerajaan perlu mengakui bahawa ahli PN mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Diraja.
"Inti pati seterusnya melibatkan ketelusan dan tiada kerahsiaan yang mana MoU ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan," katanya.
Turut terkandung dalam dokumen itu ialah mengenai aspek pemakaian undang-undang yang mana dokumen ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.
Inti pati terakhir ialah MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut dokumen ini. -- Sinar Harian
#MoU peruntukan pembangkang #Fadillah Yusof #pembangkang sebulat suara menolak #pendedahan
;