Ezam kembali ke pangkuan PKR

Astro Awani
Jun 14, 2020 04:43 MYT
Mohamad Ezam telah menyerahkan borang keahlian PKR pada awal Ramadan lalu dan perkara itu juga dalam pengetahuan Anwar Ibrahim. - Gambar fail
Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor kembali ke pangkuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah mengesahkan sudah menghantar borang untuk menyertai parti itu.
Sinar Harian melaporkan, Mohamad Ezam memberitahu, beliau telah menyerahkan borang keahlian pada awal Ramadan lalu dan perkara itu juga dalam pengetahuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad Ezam dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat atas saranan rakan-rakan dan pimpinan PKR untuk membantu parti itu.
"Komitmen saya adalah untuk memadamkan serangan-serangan kecil mengganggu perjalanan PKR dan saya memilih untuk kembali ke Petaling Jaya kerana di situlah bermula sumpah keramat parti iaitu di Taman Medan.
"Saya harap ia akan memberikan kesan kepada teman-teman di Selangor untuk kembali bangkit," katanya ketika berucap menyempurnakan Pelancaran Gerakan Reformasi 98 di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Taman Tanjung Rambutan, Tanjung Rambutan pada Sabtu.
Mohamad Ezam sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk kembali menyertai PKR selepas mendapat permintaan daripada ahli akar umbi.
Untuk rekod, Mohamad Ezam merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika peringkat awal penubuhan parti itu.
Beliau meninggalkan UMNO dan menyertai PKR selepas Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Mohamad Ezam kemudian kembali menyertai UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dan sekali lagi meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tidak lama selepas menyertai Bersatu, Mohamad Ezam kemudiannya mengumumkan keluar dari parti itu dan mengumumkan penubuhan sebuah parti baru yang dikenali dengan nama Parti Bebas Rasuah.
Selepas beberapa bulan, Mohamad Ezam mengumumkan keluar dari parti yang ditubuhkannya itu dan memberi perhatian kepada badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Hisbah yang diasaskan beberapa tahun sebelum itu.
Dalam pada itu, mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar PKR, Mohamad Ezam mengakui, tindakan Timbalan Ketu Wanita PKR itu memberi kesan kepada parti.
Bagaimanapun, beliau berikrar akan membantu memperkukuhkan PKR Selangor kerana kerajaan Selangor perlu dipertahankan kerana ia merupakan tonggak penting kepada parti.
#AMK #Angkatan Muda Keadilan #Bersatu #Mohamad Ezam Mohd Noor #Parti Bebas Rasuah #Parti Keadilan Rakyat #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PKR #UMNO