Exco Kerajaan Negeri Selangor junjung titah Sultan Selangor, tekad bangunkan negeri

Fareez Azman
Ogos 21, 2023 19:42 MYT
Sultan Sharafuddin (duduk, tengah) berkenan bergambar dengan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, hari ini. - Foto BERNAMA
KLANG: 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Isnin tekad mahu membangunkan negeri itu.
Menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi barisan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu itu kini masa bekerja lebih kuat demi rakyat.
Pengalaman korporat bantu tingkat ekonomi
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah, pengalaman sebagai ahli korporat akan digunakan sebaiknya dalam membantu meningkatkan pelaburan di negeri itu.
“Baginda bertitah sedikit bimbang dengan pelaburan datang ke Selangor kerana kita ada sedikit kebelakang berbanding negeri lain.
“InsyaAllah kalau kita dapat buka pelaburan-pelaburan baru dalam negeri dengan pengalaman korporat dan hubungan yang ada dalam negeri dan negara, InsyaAllah kita boleh tarik lebih banyak pelabur,” katanya ketika ditemui media.
Isu banjir jadi keutamaan
Sementara itu bagi ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi pula, isu banjir antara isu utama yang akan diselesaikan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“InsyaAllah selepas ini pihak kerajaan akan ambil pandangan dan juga tindakan susulan baik dari segi rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Bukan hanya di Shah Alam tapi di seluruh negeri. Saya yakin banyak perancangan yang akan dilaksanakan selepas ini.
“Di Shah Alam ada pelan tebatan banjir sebelum ini diumumkan, saya akan pastikan rancangan ini dilaksanakan secepat mungkin. Ini titah tuanku supaya kerajaan selesaikan segera,” katanya.
Gabungan PH-BN yakin beri impak
ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail yang juga wakil Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri pula yakin gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) bakal memberi impak kepada pembangunan di negeri Selangor.
“Saya menjunjung kasih titah Sultan Selangor, terima kasih kepada Menteri Besar. Terima kasih juga kepada UMNO dan BN untuk (beri peluang) berbakti kepada kerajaan negeri Selangor.
"Kemasukan saya untuk memperkasakan lagi negeri Selangor, kerajaan terbina hari ini kerana perpaduan. Pengalaman BN yang panjang, dan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 15 tahun di Selangor.
“Saya cukup yakin ia akan memberi impak lain kepada rakyat di negeri ini dengan dasar-dasar yang baik,” katanya.
Anak muda berkhidmat untuk Selangor
Sementara itu, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pula bertekad membawa suara anak muda untuk membantu membangunkan negeri itu.
“Saya rasa amat bersyukur bukan itu sahaja saya dapat merasakan betapa progresif negeri Selangor kerana beri ruang anak muda bagi jawatan dan posisi yang begitu penting.
“Umur saya 34 tahun kira agak muda, ini juga membuktikan kerajaan selangor membuka ruang seluas luasanya anak muda berkhidmat negeri dan negara,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Terdahulu, kesemua 10 Exco selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kira-kira jam 4.00 petang Isnin.
Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
#exco kerajaan negeri selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Sultan Selangor #bangunkan negeri
;