Exco baru, Azmin jumpa pimpinan Pakatan Rakyat kali kedua hari ini

Nabihah Hamid
September 24, 2014 10:44 MYT
Azmin akan berjumpa pimpinan tertinggi pakatan rakyat petang ini untuk meneruskan perbincangan mengenai keputusan pemilihan buat kali terakhir. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dijangka akan menghadap Sultan Selangor esok bagi mendapat perkenan baginda berhubung senarai nama barisan exco negeri Selangor yang baharu.
Azmin berkata beliau akan berjumpa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat petang ini untuk meneruskan perbincangan mengenai keputusan pemilihan exco buat kali terakhir.
"Saya akan berjumpa pimpinan tertinggi Pakatan buat kali kedua hari ni,"
"Sekarang ini kita sedang teliti barisan exco baharu dan disusuli pertemuan kedua petang ini, insyaAllah kita selesaikan proses ini hari Khamis saya akan menghadap Tuanku dan majlis angkat sumpah hari Jumaat."
Beliau menegaskan sehingga kini barisan exco masih belum diputuskan.
Azmin yang ditemui wartawan di Bangunan SUK, Shah Alam pada hari pertama tugasnya sebagai Menteri Besar pagi tadi berkata beliau bersyukur kerana dapat memulakan tugasan sebagai Menteri Besar Selangor dengan lancar.
"Saya bersyukur kerana pada hari ini dapat memulakan tugas baru saya yang telah diberikan amanah,"
"Setelah mengadakan perbincangan awal dengan Ketua Setiausaha Negeri SUK Datuk Mohammed Khusrin Munawi mengenai tugas-tugas MB, sekarang majlis taklimat bersama yang diadakan ketua jabatan. InsyaAllah saya teruskan tugas sebaik mungkin."
Azmin merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-15 selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.
#Azmin Ali #Exco #Menteri Besar Selangor #Sultan Selangor.
;