Exco, ADUN Kelantan bakal naik gaji
Muhafandi Muhamad
November 5, 2020 17:55 MYT
November 5, 2020 17:55 MYT
KOTA BHARU: Barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kenaikan itu perlu bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji yang dinikmati mereka berbanding wakil rakyat negeri lain.
Bahkan katanya, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan sebagai pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.
"Jadi untuk merapatkan perbezaan ini, sekurang-kurangnya beza tak ketara dengan negeri lain... sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan (gaji wakil rakyat).
"Yang kedua... ini saya akan sebut dalam pembentangan memandangkan keadaan semasa semakin berat... kenaikan (gaji) wakil rakyat ni... dia (wang) pergi ke orang ramai juga... sebab wakil rakyat kita di Kelantan peranannya macam pegawai kebajikan," katanya di sini, hari ini.
Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-14 bermula hari ini.
Antara yang akan dibentangkan pada persidangan kali ini adalah rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji itu diluluskan.
Mohd Amar berkata, kenaikan gaji pokok itu berbeza antara menteri besar, Exco dan ADUN.
#Kelantan
#Exco
#Menteri Besar
#ADUN
#Exco Kelantan
#naik gaji
#wakil rakyat
#Belanjawan 2021 Kelantan
#Mohd Amar Nik Abdullah
#DUN