Ewon dilantik Pengerusi PH Sabah baharu
Sinar Harian
Disember 1, 2024 18:46 MYT
Disember 1, 2024 18:46 MYT
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah menerusi pemilihan dalam Mesyuarat Agung PH Sabah pada Ahad.
Pemilihan tersebut dibuat secara undian bersama pimpinan parti komponen dalam PH dan Ewon telah menewaskan penyandangnya sebelum ini, Datuk Christina Liew.
Ewon ketika ditemui menyifatkan pelantikannya itu menjadikan PH Sabah berwajah baharu dalam kepimpinan gabungan tersebut.
"Saya fikir ia memberi satu wajah baharu tetapi paling pada saya PH itu dalam gagasan yang lebih besar di bawah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"PH tidak kira dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) ataupun UPKO mempunyai tanggungjawab yang sama memastikan masa depan Sabah itu lebih baik dalam Persekutuan Malaysia.
"Soal pengurusan itu adalah yang kedua bagi kami dan tujuan kami berada dalam PH ini adalah memastikan masa depan itu lebih baik dan itu sebab semua dapat bekerjasama di bawah pengerusi terdahulu," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap dengan kepimpinan baharu itu akan mendapat kerjasama daripada semua pihak.
"Seperti semua maklum PH Sabah dalam pilihan raya yang lalu telah diberikan autonomi untuk berbincang tentang kerjasama politik, termasuk menentukan calon parti masing-masing dan dalam tadbir urus PH Sabah, kita juga diberikan autonomi oleh pimpinan Pusat.
"Justeru hari ini memenuhi kehendak perlembagaan PH dan juga demokrasi di dalam gabungan PH, antara yang diputuskan oleh mesyuarat adalah pemilihan Pengerusi PH Sabah.
"Saya akan menggalas tugas begitu besar dan cabaran berat untuk memimpin PH Sabah untuk penggal seterusnya yang terkait dengan banyak perkara yang kita harus perjuangkan untuk membawa pembangunan, memperjuangkan tuntutan rakyat Sabah berkaitan hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan perjanjian Malaysia," katanya.
Sementara itu, Christina memaklumkan beliau tewas sebanyak tiga undi dalam pemilihan tersebut dan undian tertinggi memihak kepada Ewon.
"Bagaimanapun, untuk agenda seterusnya kita akan melihat kepada persediaan untuk menghadapi PRN yang akan datang dan kami berhadapan dengan cabaran yang besar.
"Kami akan bersatu untuk mendapatkan kemenangan yang lebih besar dan kita akan teruskan," katanya. -- Sinar Harian