Era kematangan politik perlu dikekal dan diterjemah pada dua PRK - Ahmad Zahid
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Jun 5, 2016 13:50 MYT
Jun 5, 2016 13:50 MYT
Era kematangan politik perlu dikekalkan dan diterjemahkan pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, semangat perpaduan yang ditonjolkan parti-parti bertanding pada hari penamaan calon, khususnya di Sungai Besar, Selangor pada Ahad, wajar diteruskan.
"Buat pertama kalinya kita lihat ketenangan berlaku antara ketiga-tiga parti dan saya pasti calon juga dalam keadaan yang sama. Pemimpin ketiga-tiga parti telah dapat bertemu bukan sahaja sekadar berbicara mengenai politik tetapi kita makan bersama," katanya pada sidang media selepas mengiringi calon Barisan Nasional pada penamaan calon PRK Parlimen Sungai Besar, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid percaya, apa yang berlaku itu, ia bukan sahaja sekadar sebagai menghormati bulan Ramadan, malah ia lebih daripada itu.
"Saya merasakan bukan sahaja menghormati bulan ramadan tetapi perbedaan pendapat dapat diraikan dengan akhlak yang baik, sahsiah terpuji jadi saya fikir kita serahkan kepada rakyat untuk memilih parti yang terbaik," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebagai menghormati ajaran agama Islam, calon BN tidak akan keluar berkempen sebaliknya rakaman ucapannya akan diedarkan sepanjang kempen berlangsung.
"Saya telah nyatakan kita yakin pada hukum bahawa calon BN di Kuala Kangsar tidak muncul di khalayak tetapi kita menggunakan kempen multimedia mengikut kumpulan sasaran yang telah kita kenal pasti dan bahan-bahan itu telah diskripkan dan telah dirakamkan.
"InsyaAllah penyebaran akan dibuat untuk kumpulan-kumpulan sasaran yang telah kami kenal pasti," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Era kematangan politik perlu dikekalkan dan diterjemahkan pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar Dan Parlimen Kuala Kangsar