Enggan takbur, Warisan akan berusaha menangi hati rakyat

Qaisara Umaiyah
Ogos 9, 2020 10:31 MYT
Kata Mohd Shafie, parti Warisan pimpinannya akan memenangi hati rakyat dengan menterjemahkannya dalam perkhidmatan. - Gambar fail
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berikrar akan berusaha mendampingi segenap rakyat di negeri itu untuk menawan mereka sekalipun dalam masa sama muncul parti baharu.
Katanya, dalam usaha itu juga, Warisan akan memenangi hati rakyat dengan menterjemahkannya dalam perkhidmatan.
"Kita berusaha dampingi dan tawan hati rakyat biarpun parti baharu muncul, berikan pilihan memilih kepada rakyat.
"Kini, kita kembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan. Rakyat kini sudah matang, kita tidak perlu takbur dan berkata besar bahawa kita akan menang, kini tugas kita tawan hati rakyat dan tunjukkan yang terbaik," katanya.
Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran tanah Anak Negeri (MT) di dewan Sri Perdana.
Sebanyak 296 penerima geran MT yang mana 93 daripadanya daripada Tungku seluas 1766.78 ekar.
#Mohd Shafie Apdal #parti politik baharu #politik #rakyat Sabah #Sabah Memilih #Warisan