Enggan layan kritikan KJ, Pemuda UMNO Perak ada cara sendiri

Abd Razak Mohd Ali
April 14, 2023 08:30 MYT
Nazirul Jamaluddin (dua dari kanan) dan rombongannya menyantuni seorang warga emas pada program Singgah Sahur Pemuda UMNO Perak di Ipoh, malam tadi. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Pemuda UMNO Perak tidak mahu melayan kritikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin yang dilihat banyak mengkritik parti itu sejak dipecat Januari lalu.
Ketuanya, Nazirul Jamaluddin berkata, ketika Khairy Jamaluddin atau KJ menjadi pemimpin UMNO, termasuk Ketua Pemuda, mereka tetap bersamanya dalam apa situasi sekalipun.
Bagaimanapun, katanya, mereka juga enggan melayan tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO itu memberi komen negatif terhadap parti selepas dipecat.
“Fokus kami sekarang ialah untuk pastikan anak muda bersama UMNO, kita tak mahu melayan tindakan-tindakan yang boleh merosakkan parti.
“Kalau kita nak fokus pada KJ atau pemimpin-pemimpin yang telah keluar, maka gerak kerja kita tak akan jadi.
“Mungkin dia ada cara dia (sendiri), Pemuda Perak pun ada cara kita. KJ mungkin nak pastikan orang sentiasa ingat pada dia, Pemuda Perak pula akan pastikan anak muda akan bersama dengan UMNO,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas program Singgah Sahur Pemuda UMNO Perak di sini, malam tadi.
Program itu turut dihadiri semua 24 Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Perak termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Fahmi Ahmad Jakhisi.
Dalam program itu, mereka menyantuni dan menyerahkan juadah bersahur kepada petugas barisan hadapan seperti polis dan bomba, di samping golongan gelangan dan keluarga yang kurang bernasib baik.
Sementata itu, Nazirul berkata, kepimpinan baharu pergerakan itu akan memberi lebih tumpuan untuk memulihkan semula sokongan anak muda terhadap UMNO, khususnya mereka yang tinggal di luar kawasan.
Menurutnya, antara gerak kerja yang akan dilakukan ialah memperhebatkan lagi penggunaan media baharu untuk mendekati mereka.
Dalam masa sama, jelas beliau, Pemuda UMNO Perak juga akan mengadakan kerjasama dengan kepimpinan pemuda dari parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita akan jalinkan kerjasama dengan parti-parti komponan dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama kita menyantuni rakyat dan bersama-sama kita nak pastikan masyarakat di Perak khususnya, sentiasa bersama dengan kerajaan ini,” ujarnya lagi.
#Khairy Jamaluddin #UMNO pecat KJ #Pemuda UMNO Perak #Nazirul Jamaluddin
;