Enggan adakan sidang DUN tergempar, buka peluang wakil rakyat lompat parti - ADUN Perak
Aida Aziz
Oktober 13, 2022 17:27 MYT
Oktober 13, 2022 17:27 MYT
IPOH: Keengganan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar, didakwa memperlihatkan cubaan Barisan Nasional (BN) membuka ruang untuk wakil rakyat melompat parti.
Dakwaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin, yang mengkritik kenyataan Saarani semalam, bahawa tiada keperluan mendesak untuk membentangkan Rang Undang-undang Antilompat Parti di DUN Perak.
Katanya lagi, kenyataan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan membuktikan BN tidak yakin untuk memperoleh majoriti mudah, iaitu memenangi paling kurang 30 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya ingin bertanya kepada Datuk Seri Saarani... bagaimanakah Akta Antilompat Parti boleh mencegah wakil rakyat Perak daripada melompat parti selepas PRU15 jika ia hanya akan dibentang selepas pilihan raya dan belum berkuat kuasa?
"Keengganan Datuk Seri Saarani memanggil sidang DUN tergempar untuk membentangkan rang undang-undang itu menunjukkan BN ingin membuka ruang untuk wakil rakyat melompat parti.
"... iaitu menyokong BN sekiranya jumlah kerusi BN tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan Negeri Perak pada PRU15," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyeru supaya sidang DUN tergempar diadakan dalam masa terdekat untuk membentang, membahas dan meluluskan Rang Undang-undang Antilompat Parti sebelum DUN Perak dibubarkan.
Katanya, ia susulan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memperkenan pembubaran DUN Perak.
"Rakyat Perak sudah jijik dengan perbuatan lompat parti yang menyebabkan kerajaan Perak yang sah ditumbangkan dua kali dalam 11 tahun.
"Rang Undang-undang Antilompat Parti negeri Perak wajib diluluskan sebelum PRU15 untuk mengelak sebarang perbuatan lompat parti berlaku di sini selepas pilihan raya," katanya lagi.
Pada Rabu media melaporkan, Perak tidak akan mengadakan persidangan DUN khas bagi membentangkan Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan lompat parti sebelum ia dibubarkan.
Saarani dilapor berkata, undang-undang tersebut boleh dibentangkan kemudian selepas pilihan raya.