Enam kerusi Bersatu: Parlimen perlu dipertanggungjawabkan - Penganalisis

Madiha Abdullah
Julai 15, 2024 23:40 MYT
Manimaran (kiri) dan Wong (kanan) ketika muncul dalam program Agenda AWANI yang dikendalikan hos Nazri Kahar (tengah) pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Keputusan Speaker Dewan Rakyat terkait kedudukan enam kerusi Parlimen yang dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi satu bentuk ujian dan implikasi kepada institusi Parlimen serta undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Menurut bekas ahli tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Dr G Manimaran, ia juga turut membawa implikasi dan persoalan terhadap kewibawaan kuasa yang diberikan oleh pengundi.
Katanya, Parlimen perlu dipertanggungjawabkan kerana menggubal satu undang-undang yang lompang dan lemah untuk dicabar mana-mana pihak.
“Pertama, kesan terhadap kewibawaan Parlimen, iaitu sejauh mana Parlimen mentafsirkan undang-undang sama ada positif atau negatif.
“Kedua, kesan kepada wakil rakyat berkenaan. Seterusnya, persepsi ke atas kerajaan semasa dan kemudian, mandat yang diberikan rakyat.
“Dari awal saya sebutkan, dua tahun lepas saya nyatakan, undang-undang yang dipinda ini tak akan ke mana,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.
Pendapat Manimaran itu bagaimanapun tidak dipersetujui Timbalan Ketua Strategi Ibu Pejabat Asia Jaringan Penyelesaian Pembangunan Mampan, Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat.
Wong melihat apa yang dilakukan Parlimen dua tahun lepas adalah tolak ansur yang berasas.
Jelasnya, masalah utama ketika ini ialah parti yang lemah dari aspek tujuan dan matlamat perjuangan, manakala gejala yang harus diubati ialah lompat parti.
Namun, katanya, ubat yang digunakan untuk mengubati gejala itu mempunyai masalah tersendiri.
“Macam ubat yang diberi pada pesakit kanser. Kalau ubat terlampau kuat, boleh bunuh sel kanser tetapi ia juga boleh membunuh pesakit.
“Kalau ubat tidak cukup kuat, mungkin tak bunuh pesakit tetapi sel kanser juga tidak.
“Keputusan jawatankuasa khas ketika itu ialah peruntukan 49(A) mengambil kaedah lebih berlembut, iaitu pilihan diberi kepada parti masing-masing untuk mengetatkan undang-undang,” katanya.
Tambah Wong lagi, kelompangan yang sangat jelas ketika ini ialah akta tersebut tidak menerangkan dengan jelas bahawa kuasa Speaker adalah secara pentadbiran sahaja dan bukan bertindak sebagai hakim.
Katanya, Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara jelas bahawa mahkamah ada hak untuk meneliti keputusan Speaker.
“Tak kira apa keputusan, mesti ada pihak yang bawa ke mahkamah\, jadi mahkamah kena buat keputusan.
“Kenapa nak tegaskan mahkamah mesti masuk campur dan ini akan menentukan sama ada undang-undang antilompat parti ini akan jadi satu punca kekelamkabutan?
“Kita ada 13 undang-undang yang sama di Dewan Rakyat dan 12 Dewan Undangan Negeri kecuali Pulau Pinang. Maksudnya, kita ada 13 Speaker.
"Pada bila-bila masa, (mereka) boleh buat tafsiran sendiri pada perkara yang sama seperti yang kita lihat berlaku di negeri dan untuk lima orang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Ini menjadi masalah, kerana Speaker tak terikat pada sesiapa,” tambahnya.
Agenda AWANI: Bila wakil rakyat masih ‘melompat’…
#Bersatu #Dewan Rakyat #Akta Anti Lompat Parti #Speaker