Empat MP GRS tidak perlu kosongkan kerusi walaupun keluar Bersatu - Penganalisis
Astro Awani
Disember 10, 2022 16:17 MYT
Disember 10, 2022 16:17 MYT
KOTA KINABALU: Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu mengosongkan kerusi parlimen masing-masing susulan keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (Geopes UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad hal ini kerana, kesemua mereka bertanding ada tiket GRS dan 'terselamat' daripada tindakan undang-undang di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Menurutnya, Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga hanya menyebut keluar daripada Bersatu dan tidak (keluar) GRS yang mana ini bermaksud keempat-empat MP itu masih di bawah naungan GRS sebagai parti gabungan.
"Keempat-empat MP Bersatu Sabah itu masih kekal di kerusi (Parlimen) mereka kerana mereka bertanding atas tiket GRS.
"Mesti diingat, GRS masih wujud oleh itu mereka selamat daripada tindakan anti lompat parti yang dikuatkuasakan Oktober 2022," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Sebelum ini, status empat Ahli Parlimen GRS yang meninggalkan Bersatu menimbulkan persoalan sama ada mereka perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.
Malah, dua daripada mereka iaitu Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dr Syahruddin menambah, kenyataan kepimpinan Bersatu keluar parti itu adalah sama dengan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini PN mempunyai 74 kerusi Parlimen termasuk empat kerusi yang dimenangi di Sabah atas tiket GRS. Kini PN hanya memiliki 70 kerusi Parlimen.
Sementara itu, bagi Penganalisis Politik Sabah, Dr Romzi Ationg turut berpandangan kedudukan keempat-empat MP tidak akan terkesan kerana kesemua mereka bertanding atas tiket GRS dan bukannya Bersatu mahupun Perikatan Nasional.
"Jika mereka kekal dalam GRS tidak perlu mengosongkan kerusi (Parlimen) masing-masing," katanya.
Ditanya sama ada mengenai tindakan Hajiji dan kepimpinan meninggalkan Bersatu, Romzi berkata, ia satu tindakan yang dinanti-natikan majoriti rakyat Sabah sekali gus menamatkan kekeliruan rakyat terhadap GRS berkaitan agenda blok Borneo.
Pada Sabtu, Hajiji yang juga Ketua Menteri mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Ini katanya kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.