Empat ADUN Pulau Pinang diarah kosongkan kerusi

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 6, 2023 14:15 MYT
(Dari kiri) Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang), Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh) dan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) yang diarah keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tengah hari tadi. - BERNAMA
GEORGE TOWN: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diarah meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini selepas usul pengosongan empat kerusi DUN diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.
Mereka adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang mengumumkan keputusan tersebut selepas usul yang dikemukakan ADUN Pinang Tunggal, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mendapat sokongan majoriti ADUN selepas ia dibahaskan 12 wakil rakyat.
Persetujuan usul tersebut dibuat menerusi pungutan suara dimana suara yang menyatakan persetujuan lebih ramai dan kuat berbanding tidak.
"Pengisytiharan tersebut diluluskan yang Dipertua Dewan Undangan negeri menurut fasal 14(A)(4) Perlembagaan Pulau Pinang, hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlaku kekosongan kerusi dan bahawa Dewan ini mengambil maklum mengenai usul di bawah fasal (5) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bahawa satu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun, dipersetujui. Ahli yang bersetuju lebih ramai maka Dewan memohon supaya empat ADUN terlibat mengosongkan kerusi dan meninggalkan Dewan Persidangan sekarang," katanya pada persidangan Dewan hari ini.
DUN Pulau Pinang | Empat ADUN pembangkang diarah kosongkan kerusi
Susulan arahan itu, keempat-empat mereka kemudiannya meninggalkan bangunan DUN kira-kira jam 1 tengah hari.
Dengan keputusan itu juga, DUN Pulau Pinang ketika ini hanya memiliki seorang ADUN pembangkang iaitu ADUN Pas, Mohd. Yusni Mat Piah.
Terdahulu keempat-empat ADUN berkenaan mempertahankan kedudukan masing-masing ketika perbahasan usul itu khususnya berkenaan kelompangan yang terdapat dalam akta tersebut.
Keempat- empat ADUN berkenaan menyifatkan usul pengosongan kerusi yang diwakili mereka dibuat secara tergesa-gesa meskipun umum mengetahui tarikh pembubaran DUN akan berakhir Mei ini.
DUN Pulau Pinang | Empat ADUN akur, akan kembali lebih kuat
Selain itu mereka juga mendakwa usul tersebut juga adalah cubaan untuk 'menghalau' mereka daripada DUN untuk terus menunaikan tanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing-masing.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual hari ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.
Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Anti Lompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Mahkamah Persekutuan juga memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia selaras dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14(A) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
#ADUN pulau pinang #kosongkan kerusi #Dr Afif Bahardin #Zulkifli Ibrahim #Khaliq Mehtab #Zolkifly Md Lazim
;