Empat ADUN PBB akan pertahan kerusi pada PRN akan datang

Bernama
Januari 17, 2016 09:30 MYT
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (gambar) menyeru supaya pengundi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ADUN Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan dicalonkan semula. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengesahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri akan datang.
Mereka ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai) dan Hazland Abang Hipni (Demak Laut).
Adenan yang juga presiden PBB dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata penyandang kerusi DUN Tupong Datuk Daud Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) bagaimanapun akan mengundur diri secara sukarela.
Menurut Adenan keempat-empat wakil rakyat terbabit telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pengundi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka.
Adenan mengumumkan demikian pada Majlis Perasmian Agenda DBKU 2016 di sini
hari ini.
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB #Tan Sri Adenan Satem