Empat ADUN masih boleh bertugas - Chow Kon Yeow
Sinar Harian
Ogos 6, 2022 12:45 MYT
Ogos 6, 2022 12:45 MYT
BAYAN LEPAS: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak lagi menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan masing-masing seperti biasa.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ADUN tersebut kekal sebagai wakil rakyat sehingga keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengenai saman pemula yang dibuat mereka terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang serta Speaker DUN untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.
"Selagi Mahkamah Tinggi (Pulau Pinang) tidak membuat keputusan, mereka masih boleh menjalankan tugas sebagai ADUN seperti biasa.
"Mereka akan tetap menerima faedah dan gaji sebagai wakil rakyat seperti biasa," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Pantai Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.
Keempat-empat wakil rakyat tersebut Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing serta pilihan raya kecil diadakan.
Kon Yeow berkata, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut kerana di bawah undang-undang negara, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).
"Di bawah undang-undang negara, tidak (akan) ada PRK sekiranya kekosongan kerusi wujud dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang. Oleh demikian, jika peruntukan ini digunapakai, maka tidak timbul tentang PRK.
"Bagaimanapun, kita akan tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dahulu. Sebarang keputusan dibuat Mahkamah Tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi terjejas itu kosong.
"Ia mengikut mana-mana yang berkenaan dengan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, berperlembagaan dan hendaklah kekal seperti sedia ada," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka.
Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memutuskan untuk mengarahkan peguam cara negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung ketiga-tiga saman pemula (OS) yang difailkan oleh keempat-empat ADUN tersebut.
Pada Rabu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. -Sinar Harian