"Elok Dr Mahathir terus jaga cucu" - Nazri Aziz

Irwan Muhammad Zain
Disember 30, 2022 16:09 MYT
Mohamed Nazri berkata, berkata,jawatan TPM tidak ada dalam perlembagaan negara sebaliknya ia adalah amalan politik yang bermula ketika negara ini mencapai kemerdekaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan satu perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, kata Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamaed Nazri Abdul Aziz.
Menurut Mohamed Nazri, seorang TPM tidak boleh membantu Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas yang berlandaskan Perlembagaan negara.
Beliau berkata, jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan negara, sebaliknya, ia amalan politik yang bermula ketika negara ini mencapai kemerdekaan.
"Jika ada kecacatan di sebalik pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanyalah dari segi moral semata-mata, tetapi moral tidak boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.
"Untuk menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet, TPM perlu memegang satu portfolio sebagai menteri. Tidak ada jawatan TPM tanpa portfolio seperti Perdana Menteri.
"TPM tidak boleh menjalankan tugas-tugas Perdana Menteri yang termaktub dalam Perlembagaan seperti menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan 44 daripada 70 anggota Dewan Negara, pelantikan Peguam Negara dan beberapa jawatan lain.
"TPM juga tidak boleh mengambil alih tugas PM dalam melantik pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ia adalah tugas PM yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
"Sekiranya apa-apa berlaku ke atas PM ia tidak bermakna TPM akan terus menggantikannya kerana ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada Astro AWANI.
Sehubungan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu pelik apabila seorang yang berpengalaman seperti Tun Dr Mahathir Mohammad membangkitkan mengenai pelantikan seorang TPM.
Katanya, sebagai seorang yang sudah berpengalaman, Dr Mahathir tentunya lebih memahami fungsi dan tugas-tugas TPM berbanding pihak lain.
"Dr Mahathir sudah dua kali menjadi Perdana Menteri, kali pertama 22 tahun dan kali kedua 22 bulan, beliau sepatutnya lebih memahami perkara ini.
"Dalam usia yang sudah lanjut tidak perlulah ada dendam yang mendalam. Hiduplah dengan tenang.
"Sekiranya mahkamah mendapati Zahid bersalah dalam kes yang sedang dibicarakan, beliau tentunya akan digugurkan dari Kabinet.
"Dr Mahathir berkata beliau mahu menjaga cucu buat masa ini dan saya rasa itulah sepatutnya beliau lakukan, bukan lagi mencampuri urusan kerajaan," katanya lagi.
Awal hari ini, Dr Mahathir mempersoalkan pelantikan TPM yang masih berdepan pendakwaan mahkamah.
Menerusi entri terbaharu di akaun Twitter peribadinya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat, perlu satu bentuk reformasi terhadap jawatan tersebut.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #Mahathir Mohamad #Zahid Hamidi #TPM
;