Elizabeth serah dokumen bantu siasatan penglibatan ATM dalam pemilihan PKR
Bernama
Oktober 22, 2018 04:45 MYT
Oktober 22, 2018 04:45 MYT
Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata beliau telah menyerahkan dua set dokumen bagi membantu siasatan Kementerian Pertahanan berhubung dakwaan penglibatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Pemilihan PKR Cabang Petaling Jaya Utara (PJU), pada Ahad.
Wong yang diumum menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang berkenaan berkata dokumen itu masing-masing diserahkan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Set pertama mengandungi nama dan butiran tiga orang yang disyaki anggota ATM yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari mengundi Pemilihan Cabang PJU.
"Set kedua pula berkenaan penemuan 32 ahli parti Cabang PJU yang didaftar atas beberapa alamat di kem ATM, antaranya Kem Batu Kentomen, Kem Paya Jaras, Kem Sungai Buloh, Kem Wardieburn dan Kem Perdana Sungai Besi," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Wong berkata tindakannya dibuat bagi membolehkan Kementerian Pertahanan memulakan semakan sekiranya anggota ATM ada terlibat dalam aktiviti politik, selain membantu Cabang PJU mengemas kini senarai anggotanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa aduan berkenaan anggota ATM yang mengundi pada sebelah pagi adalah insiden berbeza dengan penahanan tujuh orang oleh pihak polis yang berlaku pada sebelah petang pada hari pemilihan.
"Tujuh orang yang ditangkap pada sebelah petang adalah mereka yang disyaki pengundi hantu dan bukan yang disyaki sebagai anggota ATM," katanya.
-- BERNAMA
#anggota ATM
#Cabang PJU
#dokumen
#Elizabeth Wong
#Kementerian Pertahanan
#Ketua Cabang
#Mohamad Sabu
#pemilihan PKR
#pengundi hantu
#PKR
#Saifuddin Nasution Ismail
#siasatan
#tentera