Elak rakyat buat rumusan Anwar gila jawatan PM - Khairuddin
Astro Awani
Julai 7, 2019 09:00 MYT
Julai 7, 2019 09:00 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tidak terlalu banyak berbicara mengenai jawatan pengganti perdana menteri untuk mengelakkan rakyat membuat rumusan seolah-olah Presiden PKR itu gila jawatan tersebut.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Anwar juga diharap tidak terlalu melayani isu bakal perdana menteri kelapan kerana sudah tahu pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad mengenainya.
“Tidak perlu langsung Anwar mengulangi peristiwa silam kerana kini kita semua sudah berada di bawah satu bumbung Pakatan Harapan (PH).
“Tidak perlu untuk kita menoleh ke belakang lagi. Kita semua harus pandang ke hadapan secara positif dan meneruskan agenda untuk membina semula negara yang telah dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu.
“Kurang baik bagi Anwar berbicara mengenai isu bakal perdana menteri kelapan secara berterusan kerana sedikit sebanyak ia boleh meninggalkan kesan negatif terhadap dirinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Anwar sebelum ini dilaporkan memberi jaminan kepada ahli parti bahawa perjanjian antara komponen PH berhubung pelantikannya sebagai perdana menteri kelapan tidak berubah.
Dalam pada itu tegas Khairuddin, semua pihak harus berhenti berbicara mengenai isu yang disifatkan hanya membuang masa dibincangkan.
“Kita sudah tahu jawapannya. Sepatutnya kita semua harus akur dengan beberapa kenyataan Dr Mahathir mengenai bakal penggantinya.
“Takkan hari-hari perdana menteri hendak kena sebut mengenai perkara ini? Terlalu banyak bercakap mengenai isu bakal pengganti perdana menteri akan buatkan rakyat merasa bosan dengan PH.
“Rakyat melihat kita seolah-olah lebih pentingkan jawatan dari bekerja secara ikhlas. Jangkaan rakyat terhadap janji-janji manifesto PH terlalu tinggi. Sebab itu kita harus mengetepikan bercakap mengenai perkara yang sudah ada jawapannya dan hanya tumpu untuk terus memperhambakan diri kepada keseluruhan rakyat di tanah air demi kesejahteraan masa depan mereka,” jelasnya.
Tegasnya lagi, semua pihak perlu yakin dengan jaminan yang sudah diberi Dr Mahathir mengenai isu berkenaan.
“Kemudian, kita kena pasrah pada Allah kerana sebagai hambaNya, kita hanya mampu merancang tetapi segala-galanya adalah ketentuan Yang Maha Esa. Allah yang bakal menentukan segalanya.
“Seperti ungkapan Anwar sendiri baru-baru ini, kalau ada ketentuan Allah, jika ditakdirkan menjawat jawatan perdana menteri maka pada waktu itu, Anwar yang akan mengganti Dr Mahathir.
“Seandainya ketentuan Allah adalah sebaliknya, maka semua pihak pun kena terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.
Jelas Khairuddin, seringkali orang di sekeliling dilihat lebih sudu dari kuah berbanding pemimpin dan faktor itu kadangkala memudaratkan tokoh pemimpin itu sendiri.
#agenda
#Anwar Ibrahim
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#menteri
#Pakatan Harapan
#PKR
#PM
#presiden
#rakyat