Elak perpecahan, tolak pemimpin api-apikan isu hudud - anak Fadzil Noor

Astro Awani
April 1, 2015 05:58 MYT
Anak Fadzil Noor seru perwakilan memilih pemimpin yang mahu teruskan legasi ayahnya. -Foto purnama8.tripod.com
Anak lelaki bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, menyeru perwakilan parti itu agar memilih pemimpin yang "mahu meneruskan legasi" ayahnya yang berjaya menempatkan diri dalam arus perdana politik negara.
Muhammad Faiz Fadzil berkata perwakilan perlu menolak pemimpin parti yang dianggap "mengapi-apikan" isu hudud sehingga boleh menyebabkan Pakatan Rakyat berpecah, lapor Malaysiakini.
Beliau dilaporkan menyebut nama timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Husam Musa sebagai antara pemimpin yang berjaya dilahirkan Allahyarham Fadzil.
Katanya, kedua-dua pemimpin PAS itu disifatkan antara pemimpin arus perdana.
"Ini pemimpin dalam PAS yang patut kita julang. Kenapa nak lihat beberapa pemimpin dalam PAS yang mengapi-apikan isu hudud ini, sedangkan mungkin mereka tidak ada kredibiliti di mata masyarakat.
"Seperti yang disebutkan oleh YB Liew Chin Tong, kenapa kita tidak meneruskan perjuangan Fadzil Noor. Jadi, marilah menyokong pemimpin PAS yang mahu meneruskan perjuangan Fadzil Noor. (Ada) ramai," katanya dalam sebuah forum bertajuk "Pro-Kontra Hudud Kelantan" di pejabat Malaysiakini malam tadi.
Selain Muhammad Faiz, forum yang dikendalikan oleh Eekmal Ahmad itu turut membariskan ahli parlimen Kluang Liew Ching Tong, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Khalid Jaafar dan Pendakwah bebas Wan Ji Wan Husin.
Beliau tidak menafikan wujud kumpulan tertentu dalam parti itu yang lantang menyuarakan hasrat untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.
"Perwakilan (juga) bijak untuk menentukan mana pemimpin PAS yang mahu meneruskan harapan rakyat atau membunuh harapan rakyat," tegasnya.
Menerusi forum itu juga, Muhammad Faiz yang juga seorang peguam menjelaskan kerajaan Kelantan ingin melaksanakan peruntukan kesalahan jenayah syariah yang sudahpun wujud dan dilaksanakan sebelum ini iaitu zina, qazaf, mabuk arak dan murtad yang mana sebelum ini ia hanya terhad kepada hukuman denda RM3,000, penjara lima tahun dan enam kali sebatan.
"Kita mahu menaikkan hukuman mengikut kehendak syara'. Kalau zina, sebat 100 kali.
"Empat kesalahan ini tidak menjadi isu, kerana telah diamalkan dan diterima oleh masyarakat.
"Yang tiga lagi, tidak akan dilaksanakan kerana masih memerlukan penelitian, kajian, dari sudut perlembagaan, ekonomi, maqasid dan kesesuaian.
"Ia terletak bawah kuasa Federal (Persekutuan) yang memerlukan pindaan perlembagaan dan perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga," katanya.
Beliau yang juga ahli panel jawatankuasa penyediaan draf pindaan enakmen hudud Kelantan berkata pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah perlu dibuat bagi membolehkan kerajaan negeri itu melaksanakan empat hukuman itu.
#Fadzil Noor #Husam Musa #Mohamad Sabu #Muhammad Faiz #PAS