Elak mudarat, pilih jalan tengah demi kestabilan sebelum PRU15 - Penganalisis
Hasimi Muhamad
Ogos 5, 2021 16:08 MYT
Ogos 5, 2021 16:08 MYT
KUALA LUMPUR: Parti DAP berkemungkinan memilih jalan tengah dan 'berdamai' dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan, berbanding menggulingkan Perdana Menteri, ketika ini.
Ini kerana menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, pertimbangan itu berdasarkan kepada kebimbangan blok pembangkang tidak mempunyai sokongan yang cukup untuk mengambil alih pemerintahan sekiranya Perdana Menteri atau Jemaah Menteri gagal mendapat sokongan majoriti pada sesi undi percaya di Parlimen, September ini.
"Jadi, saya melihat kebimbangan itu wujud sama ada PH (Pakatan Harapan) mempunyai kekuatan yang cukup untuk mengambil alih pemerintahan daripada PN (Perikatan Nasional).
"Keduanya, saya melihat bahawa pendirian ini juga menggambarkan sikap DAP dalam keadaan berdepan situasi pandemik yang semakin tidak menunjukkan kadar penurunan yang baik dan vaksinasi pun belum mencapai imuniti kelompok yang memuaskan.
"Jadi, dalam situasi ini kalau perubahan kerajaan itu lebih mendatangkan mudarat berbanding sekarang ini, mereka mungkin memilih jalan damai bersama dengan Muhyiddin.
"Ini kerana, pertimbangan ini bagi saya juga melihat usaha-usaha yang dilakukan oleh DAP sebagai contoh, mereka sangat menyokong confidence-and-supply agreement (CSA). Jadi bagi saya, itu cara bagaimana DAP mengambil jalan tengah dalam situasi itu.
"Maka, mereka melihat mudarat yang lebih kecil ialah bersama Muhyiddin sehingga habis tamat tempoh berbanding kerajaan ini beralih kepada pihak yang belum tentu boleh memberikan kestabilan politik," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP itu, yang dimuat naik di laman Facebook malam tadi.
Pua dalam kemas kini tersebut menimbulkan persoalan bahawa pembangkang berpeluang menjatuh Perdana Menteri ketika ini.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan yang sarat dengan kontroversi akan dapat mengambil alih kerajaan selepas kejatuhan Muhyiddin.
Jika situasi itu berlaku, Pua turut melontarkan persoalan tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan atau mungkin kembali berkuasa semula?
Justeru, Pua memberi alternatif untuk dipertimbangkan iaitu "bertolak-ansur" dengan pentadbiran Muhyiddin sehingga pilihan raya umum akan datang.
"Haruskah kita memikirkan langkah ke depan untuk menghentikan kleptokrat agar tidak terlepas, atau lebih buruk lagi, mendapatkan kembali kawalan dan kekuasaan politik, walaupun itu bermaksud bertolak ansur dengan pentadbiran PN yang tidak kompeten dan khianat dalam sedikit masa lagi?," katanya dalam catatan di laman FB.
#PRU15
#Tony Pua
#Facebook
#Muhyiddin Yassin
#kerjasama politik
#Perikatan Nasional
#Pakatan Harapan
#DAP
#Dewan Rakyat
#undi percaya
#Politik Malaysia
#COVID-19
#PKP 3 0
#berita hari ini