Eizlan Yusof bakal masuk Pas?

Sinar Harian
Jun 9, 2023 16:20 MYT
Eizlan Yusof (dua dari kanan) bersama ahli Kelab Motosikal Alternative Rising Club (ARC). - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, yang pernah bertanding kerusi Parlimen Sabak Bernam mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, dipercayai bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas.
Ia susulan gambar-gambar beliau bersama beberapa figura politik dari PN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) terutama Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa, tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, Eizlan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu (masuk Pas) dan meminta semua untuk menunggu pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana diberi kepercayaan oleh Tan Sri Annuar untuk bersama MN yang berperanan sebagai platform NGO melaksanakan program dan aktiviti ke arah kemuafakatan, perpaduan serta tanpa bersifat perkauman,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Eizlan, jiwa NGO yang ada dalam dirinya juga dapat melihat kesungguhan Pengerusi MN benar-benar serius mempromosikan perpaduan ummah selain menjunjung keutuhan sistem politik negara lebih baik.
"NGO baharu ini mula membuka keahlian kepada orang ramai pada 10 Disember 2022 dan keahliannya telah mencecah lebih 100,000 orang dan difahamkan bahawa pertubuhan ini kekal sebagai sebuah NGO serta tidak terbabit dalam gerakan politik.
"Pada Mei lalu, Annuar mengesahkan akan menyertai Pas dan tidak menolak untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang," ujarnya. - Sinar Harian
#Eizlan Yusof #PRN #PAS #PRN Selangor
;