E-Undi: SPR khuatir isu keselamatan, kerahsiaan - Menteri JPM
Umavathi Ramayah
Julai 16, 2020 12:44 MYT
Julai 16, 2020 12:44 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan membayangkan e-voting atau e-undi tidak akan dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), sekiranya diadakan dalam masa terdekat.
Beliau memberitahu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum berpuas hati dengan isu kerahsian dan keselamatan dalam perjalanan pengundian itu.
Pun begitu katanya, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak-pihak dalam dan luar negara berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan berhubung kaedah pengundian secara elektronik itu.
Katanya, SPR masih meneliti kesesuaian kaedah itu.
"Beberapa negara luar seperti India dan Brazil pernah melaksanakan e-undi dalam pilihan raya mereka, namun akhirnya keputusan mereka dipersoalkan dan sistem itu terbukti tidak begitu efektif.
"Bagaimanapun kita menjamin bahawa sistem dan kaedah pilihan raya akan ditambah baik," katanya pada Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap-UMNO) mengenai tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU bagi menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya dan penggunaan e-undi dalam pilihan raya sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca COVID-19.
Takiyuddin menjelaskan, SPR sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya PRU ke-15 pada bila-bila masa.
Beliau berkata persediaan ini merangkumi perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti belanjawan pilihan raya, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.
"Sebagai persiapan menghadapi PRU-15, SPR juga akan menwujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi," ujarnya.
Selain itu katanya, SPR juga akan menjalankan urusan pengemaskinian daftar pemilih dari semasa ke semasa.
Katanya, jika PRU dijalankan dalam tempoh terdekat, proses pejalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19 selaras yang diselaraskan mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#Dewan Rakyat
#logistik
#Mahdzir Khalid
#pasca COVID-19
#pembangunan sistem
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#pilihan raya umum
#sumber manusia
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Takiyuddin Hassan
#UMNO