Dyana sukar menang jika peratusan keluar undi rendah - Lim Kit Siang
Astro Awani
Mei 26, 2014 07:30 MYT
Mei 26, 2014 07:30 MYT
Peluang calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud untuk menang boleh terjejas jika peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini rendah, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Justeru itu, Kit Siang merayu kesemua pengundi, terutama yang berada di luar Teluk Intan untuk pulang menunaikan tanggungjawab.
"Ini mustahak (kerana) situasi di Bukit Gelugor adalah berbeza kerana pengundi sudah merasakan DAP pasti menang di situ.
"Tetapi di Teluk Intan, DAP belum tentu boleh menang," katanya pada sidang akhbar bersama Dyana Sofya di sini pada Isnin.
Beliau berkata jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah seperti pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada Ahad, iaitu kira-kira 56 peratus, sudah tentu akan memberi masalah kepada DAP bagi mengekalkan kemenangannya di Teluk Intan.
"Jika peratus keluar mengundi Sabtu ini rendah, I think we are gone case (Saya fikir, habislah kita). Kita perlukan jumlah keluar mengundi paling banyak," katanya.
Pada Ahad DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor menerusi calonnya Ramkarpal Singh Deo, dalam pertandingan empat penjuru, dengan majoriti berkurangan iaitu 37,659 undi berbanding yang diraih mendiang ayahnya Karpal Singh 42,706 undi.
Pada pilihan raya kecil Teluk Intan, terdapat sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi berada di luar negara.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dengan Dyana Sofya.