DUN Slim: Saarani dilantik pengarah PRK, Mohd Zaidi pengarah operasi
Astro Awani
Julai 24, 2020 07:58 MYT
Julai 24, 2020 07:58 MYT
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz pula dilantik menjadi Pengarah Operasi PRK tersebut.
“Sementara itu, saya dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa akan membantu sepanjang kempen yang berlangsung mulai 15 hingga 29 Ogos ini,” katanya yang dipetik laporan UMNO Online hari ini.
Terdahulu malam tadi, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Menara Dato’ Onn, di sini.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRK DUN Slim adalah pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi 29 Ogos dan undian awal 25 Ogos.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.
PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.
#Ahmad Maslan
#Ahmad Zahid Hamidi
#DUN Slim
#Majlis Kerja Tertinggi UMNO
#mesyuarat
#pengarah PRK
#pilihan raya kecil
#PRK DUN Slim
#UMNO
#UMNO Perak