DUN Selangor lulus turun had umur ADUN kepada 18 tahun

Sinar Harian
Disember 6, 2021 19:11 MYT
Menurut Amirudin, pindaan tersebut adalah mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603). - Gambar fail
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Isnin.
Pindaan terhadap Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 10 ADUN pada Sidang DUN Selangor di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan tersebut adalah mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) bagi menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun untuk calon ahli Dewan Rakyat.
Menurutnya, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta A1603 juga dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon ahli ADUN daripada 21 ke 18 tahun.
"Jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan untuk meminda Undang-Undang Tubuh bagi menguatkuasakan pindaan berkaitan had umur calon DUN tersebut, berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan perkara tersebut.
"Berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan perkara tersebut berhubung had umur ADUN atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika Sidang DUN di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, walaupun terdapat beberapa ahli ADUN yang mempunyai persepsi berbeza tentang Rang Undang-undang (RUU) tersebut, namun pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju tentang perkara berkenaan secara dasarnya.
Ujarnya, ia merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada anak muda, yang menunjukkan Selangor bersiap sedia untuk pastikan calon-calon berumur 18 tahun boleh bertanding pada pilihan raya akan datang.
"Kita tahu kekuatan, inovasi serta kreatifnya anak muda ini pada masa akan datang menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri Selangor.
"Jadi suara anak muda Selangor kita dengari dan kita nak pastikan penyertaan anak muda seramai mungkin selaras dengan Undi18 dan juga calon.
"Jika anak muda itu bersedia untuk berkecimpung dalam politik bagi menentukan hala tuju negara dan mencurahkan bakti kepada tanah air dalam aspek sosioekonomi, arena politik inilah tempat terbaik bagi mereka menonjolkan bakat sebagai pemimpin masa depan," katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#Undi 18 #Amirudin Shari #DUN Selangor #pilihan raya
;