DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 3 Nov - Abang Johari

Astro Awani
November 5, 2021 09:10 MYT
Abang Johari umum Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021 pada sidang media khas jam 9 pagi tadi yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI. -Gambar fail
KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media khas jam 9 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama, tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia (WBM) yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI.
Abang Johari berkata adalah penting untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan bagi mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.
Beliau menyifatkan ia suatu pengkhianatan sekiranya kerajaan negeri terus digantung.
BACA: PRN Sarawak: Ia suatu pengkhianatan jika GPS terus menggantung kerajaan - Abang Johari
BACA: PRN Sarawak ketika pandemik, ini keputusan sukar - Abang Jo
BACA: PRN Sarawak: GPS kenal pasti calon, bakal umum tidak lama lagi - Abang Jo
Turut hadir pada sidang media khas itu ialah barisan pemimpin utama daripada setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Semalam media dimaklumkan berhubung sidang media hari ini, namun ia tidak memperincikan sama ada ia ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
BACA: Sidang media khas Ketua Menteri Sarawak bakal disiarkan di Astro AWANI
Namun media sejak awal lagi menjangka ia berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 negeri itu.
Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.
BACA: Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan
Bagaimanapun, tiada tarikh tertentu dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan.
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
BACA: PRN Sarawak: SPR bakal adakan mesyuarat khas bincang pelaksanaan PRN
PRN Sarawak | SPR akan adakan mesyuarat khas bincang pelaksanaan
#Abang Johari Tun Openg #sidang media khas #PRN Sarawak #Proklamasi Darurat
;