DUN Sabah lulus RUU Antilompat Parti
Astro Awani
Mei 25, 2023 19:07 MYT
Mei 25, 2023 19:07 MYT
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir.
Keputusan itu selepas dua pengundian belah bahagian untuk Fasal 2 berkaitan pindaan Perkara 6 Perlembagaan Sabah dan pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.
Bagi pengundian belah bahagian fasal 2, sebanyak 61 ADUN menyokong, manakala 14 tidak bersetuju dan empat lagi tidak hadir
Manakala 75 ADUN menyokong dan empat tidak hadir bagi pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.
Tiada ADUN yang berkecuali dalam kedua-dua pengundian.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membentangkan RUU berkenaan pada persidangan DUN di sebelah pagi.
Hajiji berkata, pindaan itu antara lain bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan Sabah daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.