DUN Sabah: Hajiji bentang RUU Anti Lompat Parti
Mirlen Axtius
Mei 25, 2023 16:30 MYT
Mei 25, 2023 16:30 MYT
KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 membabitkan Anti Lompat Parti telah dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan memandang serius serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.
Jelas Hajiji, antara parameter penggubalan RUU tersebut adalah, peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti ini tidak akan terpakai secara retrospektif.
"ADUN yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi ADUN.
"Keanggotaan ADUN dalam parti gabungan dan penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan ADUN bertukar parti.
"Mana-mana ADUN yang bertukar parti politik atau mana-mana ADUN meninggalkan parti politik untuk menjadi ADUN bebas akan terhenti menjadi ADUN dan perlu mengosongkan kerusi.
Hajiji berkata, terdapat beberapa pengecualian terhadap larangan ADUN bertukar parti, antaranya ialah, ADUN tidak terhenti menjadi ADUN sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.
"Pelepasan keanggotaaan ADUN daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker DUN tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi ADUN. Dalam erti kata yang lain, perkara ini tidak akan menyebabkan
Speaker kehilangan kerusinya di DUN.
"Selain itu, pemecatan ADUN daripada keanggotaan dalam parti politik tidak akan menyebabkan kekosongan kerusi ADUN itu," jelasnya.
Tambah Hajiji, selaras dengan perkara tersebut, RUU ini mengandungi lima fasal dan fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan memberi kuasa kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa RUU.
"Fasal 2 bertujuan untuk memotong Fasal (7) Perkara 6 memandangkan Fasal (7) tersebut tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Fasal (3) Perkara 6 berikutan situasi politik semasa.
"Fasal 3 bertujuan untuk memotong Fasal (5) Perkara 17. Pemotongan Fasal (5) ini akan membolehkan mana-mana ADUN yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam DUN dan dengan itu kehilangan kelayakan
untuk menjadi ahli Dewan Undangan bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai.
"Fasal 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 17A untuk memperuntukkan bahawa seseorang ADUN hendaklah terhenti menjadi ADUN dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) Perkara baharu 17A, jika telah dipilih ke DUN sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu.
"Fasal 5 bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 46 untuk memasukkan takrif-takrif baharu iaitu takrif 'kekosongan luar jangka' dan takrif 'parti politik'," katanya.
Hajiji pada masa sama yakin bahawa RUU ini mampu menghentikan tindakan mana-mana ADUN yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik di negeri itu untuk jangka masa panjang.