DUN Perak bersidang esok, usul penangguhan akan dibuat - Speaker
Harits Asyraf Hasnan
Disember 8, 2020 21:00 MYT
Disember 8, 2020 21:00 MYT
IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual bersambung semula esok tetap perlu bersidang lantaran ketetapan telah dibuat sebelum ini.
Namun, Yang di-Pertua DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata sidang DUN yang akan bermula jam 2.30 petang itu hanya akan meluluskan usul supaya mesyuarat itu ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Ia berikutan tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dilantik sehingga hari ini.
“Saya ada dua pilihan. Sekiranya saya menempohkan ke satu tarikh berikutnya yang munasabah, saya boleh tempohkannya sendiri seperti mana saya tempohkan pada persidangan yang lepas, saya tetapkan tarikh dan masa.
“Tetapi sekiranya keadaan memerlukan masa yang lebih, mungkin saya akan menjemput ahli Yang Berhormat untuk membawa usul supaya dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Tambah beliau, penangguhan dewan itu akan dilakukan di bawah Peraturan Mesyuarat 80, DUN Perak.
Mengenai kertas dan laporan yang telah diberikan notis kepada dewan, ia masih boleh dibentang tanpa dibahaskan esok, katanya.
Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lepas dengan pembentangan Belanjawan 2021 negeri sebelum bersambung semula pada hari ini (Selasa) hingga Jumaat ini.
Bagaimanapun, susulan kemelut politik yang tercetus pada Jumaat lepas, Mohamad Zahir menangguhkan persidangan hingga Rabu ini.
Pada Jumaat lepas, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Namun, Speaker membenarkan pembentangan usul ‘Keyakinan ADUN Terhadap Menteri Besar’ yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti ADUN.
Mengikut Peraturan Mesyuarat, menteri besar baharu perlu memberi notis kepada DUN untuk menyambung persidangan dalam tempoh 14 hari selepas pelantikannya dan persidangan pula hanya boleh bermula selepas dua minggu notis diterima oleh DUN.
#DUN Perak
#ADUN
#Menteri Besar
#Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid
#politik perak
#krisis politik Perak
#Sidang DUN Perak
#politik
#Belanjawan Perak 2021