DUN Melaka dibubar - Speaker

Fareez Azman
Oktober 5, 2021 15:41 MYT
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) pada sidang media mengenai Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas di Seri Negeri hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.
Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka semalam.
"Susulan daripada sidang media tersebut, YAB Ketua Menteri Melaka telah mengutus surat kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk memaklumkan bahawa empat orang Ahli Yang Berhormat tersebut telah hilang kepercayaan kepada YAB Ketua Menteri seterusnya pada masa yang sama meminta perkenan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas.
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: Dua lagi ADUN akan tarik sokongan, dakwa Idris
"Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin)," katanya.
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: TYT kuarantin, tiada kunjungan sehingga Khamis
Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang Keempat Belas jelasnya akan diwartakan pada 5 Oktober 2021.
[TERKINI] Sidang media perkembangan politik Melaka
Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).
#DUN Melaka bubar #Sulaiman Md Ali #Tun Mohd Ali Mohd Rustam #Politik Malaysia