DUN Johor ucap tahniah kepada dua ADUN dilantik Menteri, Timbalan Menteri
Bernama
Disember 11, 2022 12:37 MYT
Disember 11, 2022 12:37 MYT
ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ADUN Perling Liew Chin Tong atas pelantikan masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri.
Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Liew, Ahli Parlimen Iskandar Puteri memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Dewan yang mulia ini ingin merakamkan setinggi tahniah kepada ADUN Simpang Jeram yang dilantik sebagai menteri dan ADUN Perling yang dilantik sebagai timbalan menteri.
"Selamat menjalankan tugas," kata Mohd Puad yang juga ADUN Rengit.
Mohd Puad sempat berseloroh meminta Salahuddin dan Liew menyediakan jamuan durian untuk kesemua ahli dewan negeri atas pelantikan itu.
"Jangan lupa tahun depan sediakan jamuan durian untuk kita semua. Boleh ya Yang Berhormat?" kata Mohd Puad.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah menang di Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-UMNO) dan Loh Kah Yong (PN-Gerakan).
Liew yang juga Pengerusi DAP Johor pula menang di Iskandar Puteri dengan majoriti 60,036 undi menewaskan Tan Nam Cha (PN-Bersatu) dan Datuk Jason Teoh Sew Hock (BN-MCA).
-- BERNAMA