DUN Batang Kali: Harumaini pertimbang tindakan undang-undang

Sinar Harian
Februari 16, 2023 21:13 MYT
Harumaini berkata, beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana keputusan itu dibuat tanpa dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim yang mengumumkan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali kosong.
Beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana keputusan itu dibuat tanpa dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan hanya mengetahui melalui rakan-rakan dan hantaran di media sosial.
"Saya akan timbang untuk ambil tindakan undang-undang, tengok macam mana, kalau ada ruang saya inilah (tindakan susulannya), saya sendiri pun terkejut sebab saya tidak diberitahu awal.
"Kalau tak boleh (melalui perundangan) saya tengok macam mana, tetapi pada saya ini teknikal sahaja, mungkin kalau orang itu berpihak kepadanya dia minta buat surat, 'back dated' dan sebagainya.
"Ini semua perkara biasalah, (layanan) kepada pembangkang, tapi saya tiada masalah. Kalau itu takdirnya, saya reda kerana rezeki saya sampai di situ," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Khamis, Suee Lim ketika ditemui pemberita di Bangunan DUN Selangor mengumumkan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali kosong.
Suee Lim memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas ADUN Batang Kali gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.
Beliau berkata, berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan, ADUN terbabit tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.
- Sinar Harian
#ADUN batang kali #Harumaini Omar #tindakan undang-undang #Ng Suee Lim
;