'Dulu tak pernah bawa isu MA63, sekarang bila hilang kuasa...'

Fifi Harteeny Marzuki
April 25, 2018 20:04 MYT
Musa (tengah) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah, Menaik Taraf dan Membaikpulih Pasar Tamu Dogonggon, Penampang, hari ini. Astro AWANI
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menyifatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya berlakon seolah-olah memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Musa berkata, sepanjang 30 tahun pembabitannya dalam politik, bekas menteri kanan Kabinet yang turut memegang jawatan penting dalam UMNO itu tidak pernah menyentuh soal MA63, apatah lagi memperjuangkan hak di bawah perjanjian berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan jika Mohd Shafie, kini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), benar-benar ikhlas memperjuangkan MA63.
Katanya, Mohd Shafie sepatutnya telah memulakan perjuangan itu sejak awal penglibatannya dalam politik, bukan hanya sekarang menjadikan ia sebagai perjuangan selepas menerajui Warisan.
"Sekarang barulah 'Sabah for Sabahan'. Sabahan apa? Mana pernah kau (Mohd Shafie) perjuang MA63. Hilang jawatan baru pura-pura kita 'for Sabahan'.
"Bukan mahu puji atau tidak, tetapi Datuk Seri Anifah Aman yang banyak memperjuangkan isu MA63 ini. Cuba tanya rekod dia (Mohd Shafie). Mana ada dia pernah cuba memperjuangkan isu ini.
"Sekarang apabila dipecat, tidak ada kuasa, tidak ada dana, baru mahu menunjukkan kepada rakyat yang beliau hendak memperjuangkan hak mereka. Sudahlah janji kosong, cakap bohong lagi," katanya.
Musa berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Majlis Pecah Tanah, Menaik Taraf dan Membaikpulih Pasar Tamu Dogonggon, Penampang, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut berkata, meskipun Penampang bukan kawasan Parlimen yang diterajui Barisan Nasional (BN), kerajaan persekutuan dan negeri tetap komited dalam membangunkan kawasan tersebut.
Jelasnya, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke pasar tamu tersebut pada 18 Januari lalu telah membuka ruang dan peluang yang besar kepada masyarakat, khususnya peniaga di pasar berkenaan.
Najib pada lawatan itu mengumumkan peruntukan RM8.5 juta untuk menaik taraf pasar tamu berkenaan yang semakin uzur.
"Kita melihat keuzuran. Ada juga tapak-tapak ini sudah begitu lama, walaupun ia masih diguna pakai oleh 350 peniaga.
"Pasar tamu ini merupakan tempat yang penting dan popular, dikunjungi banyak pembeli dan pelancong yang datang ke kawasan ini.
"Justeru, dengan menaik taraf kawasan ini, ia mampu memberikan tempat yang selesa kepada pengunjung dan juga peniaga," kata Musa.
Turut hadir pada majlis hari ini, Ketua UMNO Penampang, Senator Datuk John Ambrose, Ketua BN Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Ketua MCA Penampang, Datuk Francis Goh.
#Anifah Aman #berlakon #janji kosong #MA63 #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #pasar tamu #Penampang #Sabah #Warisan
;