"Dulu saya minat PAS, sekarang tak sangat dah" - Mat Taib

Irwan Muhammad Zain
Mei 23, 2015 07:39 MYT
Dulu saya minat PAS, sekarang tak sangat dah - Mat Taib. -Gambar fail
Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kecewa dengan apa yang berlaku dalam PAS dan akan menunggu sehingga selesai muktamar parti itu sebelum membuat keputusan sama ada akan kekal atau keluar parti.
Bercakap dalam satu forum bertajuk "Mencari Pemimpin Baru Malaysia" di Petaling Jaya pada Sabtu, Muhammad berkata pemimpin PAS yang ada sekarang tidak mempamerkan mereka mewakili semua kaum.
"Dulu saya minat masuk PAS, sekarang saya tak minat lagi dah. Saya tunggu bulan enam (Jun) ini macam mana.
"Sahabat saya Thamrin dah cabut lari awal-awal. Dia kata PAS sekarang mengarut, tapi saya bertahan lagi," katanya.
Muhammad berkata, PAS sekarang seolah-olah hanya mahu diwakili oleh satu kumpulan iaitu kumpulan ulama dan mengetepikan golongan lain.
Katanya, banyak golongan agamawan yang menyertai PAS dan bercita-cita mahu menjadi pemimpin tetapi tidak mengikuti perkembangan semasa.
"Akhir-akhir ini PAS keluarkan pemimpin-pemimpin muda so-called ulama, lulusan Timur Tengah, hafal Quran dan hadis, tapi nak jadi pemimpin bukan setakat hafal Quran dan hadis.
"Solat tarawih bolehlah baca ayat panjang-panjang, tapi nak jadi pemimpin kena juga faham isu semasa, kena faham ekonomi.
"Kalau nak nak jadi pemimpin hanya nak baca hadis, saya rasa anda tak layak jadi perdana menteri," katanya lagi.
Seorang lagi ahli panel, Datuk Dr Affifuddin Omar pula berkata sebelum ini ramai yang melihat PAS sebagai parti yang banyak melahirkan pemimpin berakhlak mulia.
Namun, jelas veteran UMNO itu, apa yang berlaku mutakhir ini menyebabkan ramai yang sudah tidak yakin lagi dengan pemimpin PAS.
"Kalau pemimpin PAS yang pegang nilai-nilai murni Islam, yang sepatutnya kita contohi boleh maki orang baru, ini parah.
"Yang dia maki barua itu orang dia sendiri. Kalau orang sendiri pun dia maki barua, orang lain lagi teruklah," katanya.
Pemilihan PAS pada muktamar parti itu di Kuala Selangor Jun ini mendapat perhatian ramai kerana semua jawatan dipertandingkan termasuk jawatan presiden.
#Dr Affifuddin Omar #Muhammad Muhammad Taib #PAS
;