'Dulu mereka kata saya katak, sekarang mereka pun katak' - Ibrahim Ali

Haider Yutim
Julai 25, 2015 08:04 MYT
Bagaimanapun katanya, beliau tidak memandang rendah kepada kumpulan tersebut malah akan memberi mereka peluang kerana katanya dalam politik "hari ini jatuh, esok boleh bangun". - Foto Astro AWANI/HAIDER YUTIM
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai 'katak' dalam negara ini atau lebih tepat lagi ahli politik yang sering melompat parti.
Beliau merujuk kepada bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bersama kumpulan progresifnya yang bakal menyertai parti politik baharu ditubuhkan iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB).
"Saya pun tak jangka orang seperti Mat Sabu sekarang dah bergaduh dengan PAS. Dulu orang tuduh Ibrahim Ali lompat, Ibrahim Ali katak, jadi sekarang ini saya alu-alukan lebih ramai 'katak' dalam negara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak memandang rendah kepada kumpulan tersebut malah akan memberi mereka peluang kerana katanya dalam politik "hari ini jatuh, esok boleh bangun".
"Sebab itu jangan kata kat orang ... tapi saya tak pandang rendah pada mereka, cuma ini soal permainan politik.
"Jadi saya tak hukum manusia. Dia gagal ke tidak, dalam politik pun sama, hari ni jatuh esok bangun.
"(Tun) Dr Mahathir dulu kena pecat dengan Tunku Abdul Rahman, akhirnya 23 tahun dia jadi perdana menteri. Sesiapa pun tak boleh hendak ramalkan begitu," katanya lagi.
Beliau sebelum itu turut telah menyarankan Mohamad yang juga Pengerusi GHB supaya menyertai DAP daripada menubuhkan parti baharu.
Katanya, adalah lebih baik jika Mohamad atau Mat Sabu bersama kumpulannya menyertai DAP kerana mereka dilihat banyak mempertahankan parti itu termasuk kerjasama dengan mereka.
#GHB #Ibrahim Ali #katak #Mat Sabu #politik