Dulu kawan, kini lawan
Sinar Harian
Mac 4, 2018 09:08 MYT
Mac 4, 2018 09:08 MYT
Kerusi N25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dijangka akan menyaksikan pertembungan sengit pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) membabitkan Amanah dan Pas.
Desas desus menyatakan, tidak mustahil Amanah akan meletakkan bekas Ahli DUN (Adun) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani yang kini merupakan Timbalan Pengerusi parti itu sebagai calon meskipun masih belum ada kata putus mengenainya.
Walaupun Mohamad Taufek yang bertanding atas tiket Pas pada PRU13, kalah kepada BN yang menang dengan majoriti 2,184, namun tempoh sepenggal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini sudah tentu memberi kelebihan kepada Amanah.
Namun, Amanah tidak boleh terlalu yakin dengan pengaruh dan nama yang ada pada Mohamad Taufek selaku bekas wakil rakyat, jika Pas meletakkan Yang Dipertua Pas kawasan Rembau, Mohamad Hassan Tamby yang juga merupakan Penyelaras Pusat Khidmat Pas DUN Paroi sebagai calon parti Islam itu.
Sudah tentu ia bakal menjadi pertembungan sengit dan hangat antara kedua-duanya kerana mereka sebelum ini pernah duduk ‘sekapal’.
Mohamad Hassan merupakan Pengurus Khidmat Masyarakat Pas DUN Paroi ketika Mohamad Taufek bergelar wakil rakyat, selain turut berperanan sebagai penyelia jentera pilihan raya Pas DUN Paroi pada pilihan raya sebelum ini.
Mohamad Hassan ketika dihubungi Sinar Harian tidak menafikan nama beliau antara salah seorang yang disebut sebagai calon, namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
“Paroi adalah kerusi tradisi Pas dan kita banyak cawangan di situ. Walaupun selepas Pas kalah pada PRU13, sesetengah orang lain mungkin akan membuat keputusan tutup pusat khidmat, tapi kami tetap teruskan khidmat di situ dan saya adalah penyelarasnya.
“Lebih-lebih lagi, saya adalah YDP Pas Rembau dan DUN Paroi di bawah kawasan saya. Kebajikan rakyat di DUN Paroi, Pas terus beri perhatian dengan mengadakan pelbagai program turun padang dan menyampaikan bantuan.
"Cuma saya akui, sumber kewangan yang kita ada agak terhad. Tetapi macam mana, pun kita cuba buat setakat yang mampu demi memastikan kebajikan rakyat dijaga,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana sekiranya perlu berhadapan dengan Mohamad Taufek pada PRU14 ini, beliau berkata, soal hubungannya dengan Mohamad Taufek bukan satu isu, kerana pilihan raya adalah soal parti.
Katanya, apa sahaja amanah yang diberi oleh parti akan digalas sebaik mungkin demi memberi kemenangan kepada Pas.
“Saya dah kenal dengan dia lebih 20 tahun dan kami masih berkawan seperti dulu dan masih minum bersama walaupun dia kini sudah berubah haluan kepada Amanah. Lagipun jika saya dipilih sebagai calon, saya bertanding atas nama parti, bukan diri sendiri,” katanya.
Bukan budaya tonjol diri
Manakala, Mohamad Taufek enggan mengulas ketika ditanya Sinar Harian sebelum ini adakah beliau dipilih sebagai calon DUN Paroi, kerana bukan budaya dalam parti itu untuk menonjolkan diri sebelum diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Namun, katanya, meletakkan Amanah di DUN Paroi adalah pilihan tepat memandangkan sebelum ini beliau pernah menjadi wakil rakyat selama sepenggal di kerusi berkenaan.
Pada masa sama, katanya, gerak kerja dan khidmat kepada penduduk di DUN itu yang dilakukan secara berterusan memberi kelebihan kepada Amanah.
“Saya pernah menang di DUN Paroi dengan tiket Pas pada pilihan raya 2008. Walaupun sekarang saya dari parti Amanah, tapi pasukan saya masih terus berkhidmat di situ.
“Saya percaya yang Amanah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab merampas kembali kerusi DUN Paroi termasuk juga di kerusi lain yang diputuskan jika keputusan telah dibuat,” katanya.
Kenyataan Mohamad Taufek seperti memberi gambaran yang beliau masih berharap ‘duduk’ di kerusi sama.
Jika benar Amanah dan Pas memilih kedua-dua nama ini bertanding di DUN Paroi, ia pasti menjadi satu persaingan sengit kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri berdasarkan rekod yang dimiliki dan tidak boleh dipandang sebelah mata.
Apa yang pasti, PRU14 di DUN Paroi bukan lagi menjadi saingan antara BN dan pembangkang, tapi antara Amanah dan Pas.
#Amanah
#calon
#DUN
#kerusi DUN
#Mohamad Hassan Tamby
#Mohamad Taufek Abd Ghani
#Paroi
#PAS
#pembangkang
#pilihan raya umum
#PRU13
#PRU14