Dua lagi Ahli Parlimen sah sertai PBM

Astro Awani
Oktober 1, 2022 19:50 MYT
Xavier Jayakumar dan Edmund Santhara Kumar disahkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar disahkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Presiden Pengganti PBM, Zuraida Kamaruddin, mengesahkan perkara berkenaan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertama PBM di ibu negara, hari ini.
Dengan penyertaan mereka, PBM kini mempunyai enam Ahli Parlimen termasuk Zuraida (Ampang), Steven Choong (Tebrau), Larry Sng (Julau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).
Lima daripada mereka memenangi kerusi di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu pada 2018 manakala Mohamaddin bertanding di bawah Parti Warisan (Warisan).
Zuraida dan Edmund Santhara meninggalkan PKR semasa 'Langkah Sheraton' untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.
Steven dan Sng pula sebelum ini mengumumkan keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
Mohamaddin pula keluar dari Warisan tahun lepas dan mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum memutuskan untuk bersama PBM.
#Parti Bangsa Malaysia #Zuraida Kamaruddin #Xavier Jayakumar #Edmund Santhara Kumar
;