Dua lagi ADUN Amanah keluar parti? 'Tak betul' - Ahli Amanah
Ridauddin Daud
November 16, 2020 16:36 MYT
November 16, 2020 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib menafikan dakwaan mereka keluar Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Khabar angin itu timbul tidak lama selepas Amanah mengesahkan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sudah keluar Amanah dan menyertai PKR.
“Tak betul itu (dakwaan sertai PKR). Tadi ada orang hantar kepada saya nombor keahlian (dalam PKR), saya memang tidak pernah isi apa-apa borang atau bagi maklumat diri untuk menyertai PKR dan itu memang tidak betul.
“Saya nafikan keahlian tersebut dan masih setia dengan parti saya,” kata Hasnul seperti dilaporkan Malaysiakini.
Dalam pada itu, Saari turut menolak dakwaan tersebut dan berkata tiada sebab untuk dia keluar parti dan kemudiannya masuk ke dalam parti gabungan sama.
“Saya nafikan. Buat apa nak lompat parti sesama kawan (gabungan),” katanya.
Terdahulu, Amanah Selangor dalam satu kenyataan sebelum itu mengesahkan Mohd Fakhrulrazi bukan lagi ahli parti itu.
Begitupun, beliau berkata tidak mengisytiharkan keluar parti sebaliknya perkara itu diumumkan Amanah sendiri dan mengatakan tidak menerima sebarang notis dan hanya mendapat tahu mengenai hal itu melalui media sosial.
“Tak tahu. No comment. Sekarang lebih kepada fokus nak kerja sebagai ADUN, sebab rakyat yang pilih. Saya kena selesaikan mandat itu.
“Nanti saya akan jelaskan bila sampai masa,” katanya lagi.
Ketika ditanya adakah dia sudah menyertai PKR, Mohd Fakhrulrazi enggan mengulas dan menjawab akan memberi penjelasan apabila “sampai masa”.
#Parti Amanah Negara
#Hasnul Baharuddin
#Saari Sungib
#Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
#Meru
#politik semasa
#media sosial