Dua jam berlalu, Muhyiddin masih bermesyuarat dengan pemimpin kanan PN
Firdaus Azil
Ogos 11, 2021 18:40 MYT
Ogos 11, 2021 18:40 MYT
PUTRAJAYA: Selepas dua jam berlalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum selesai mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) yang lain yang bermula pukul 5 petang tadi.
Setakat permerhatian media sehingga 6.50 petang, tiada lagi pergerakan keluar melibatkan pemimpin-pemimpin tersebut di pintu-pintu utama Bangunan Perdana Putra.
Terdahulu, media melaporkan kenderaan yang membawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merupakan yang pertama memasuki perkarangan bangunan pada pukul 3.40 petang.
Ia kemudian disusuli kenderaan rasmi yang membawa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pada pukul 3.50 petang.
Selain itu, media juga melaporkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa tiba sekitar pukul 4.15 petang, namun dilihat meninggalkan perkarangan setengah jam kemudian.
Tidak dapat dipastikan sama ada Annuar turut menghadiri mesyuarat itu atau hadir atas urusan yang berlainan.
Sementara itu, beberapa media melaporkan kenderaan yang membawa Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tiba pada kira-kira pukul 4.36 petang.
Selain itu, kenderaan yang membawa Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pula dilihat memasuki perkarangan bangunan pada pukul 4.56 petang.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pemimpin kanan PN dari Sabah dan Sarawak telah berada di ibu negara sejak semalam untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
Selain Abang Johari, turut dijadualkan menyertai mesyuarat itu ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Hui Kian, dan Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Anthony Nogeh Umbek.
Dalam perkembangan terbaharu, Astro AWANI turut difahamkan pemimpin-pemimpin PN telah meninggalkan Bangunan Perdana Putra pada kira-kira jam 7 petang tadi.
#Muhyiddin Yassin
#Perikatan Nasional
#Hamzah Zainuddin
#Takiyuddin Hassan
#Tan Sri Annuar Musa
#Gabungan Parti Sarawak
#Abang Johari Tun Openg
#Wee Ka Siong
#Anthony Nogeh Umbek
#pdp
#James Jemut Masing
#Dr Sim Hui Kian