Dua dekad rai reformasi, PKR bersidang penuh sejarah hari ini
Bernama
Disember 6, 2019 07:18 MYT
Disember 6, 2019 07:18 MYT
Meraikan reformasi selama 20 tahun, hari ini Kongres Nasional PKR 2019 bersidang penuh bersejarah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.
Menumpukan agenda penerusan reformasi yang menjadi asas perjuangan parti, pentas persidangan akan menyaksikan buat pertama kali pengasasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden parti setelah beliau dipilih memegang jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan tahun lepas.
Anwar dijadual menyampaikan ucapan dasar di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan pada 9.20 pagi sejurus selepas ucapan aluan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail.
Menerusi ucapan dasar itu, Anwar sekali gus merasmikan kongres bertema '20 Tahun Keadilan : Dua Dekad Merakyatkan Reformasi'.
Ia kemudian disusuli sesi perbahasan untuk membahaskan ucapan dasar tersebut.
Seramai 16 perwakilan akan menyertai perbahasan sebelum persidangan dijangka ditangguh pukul 4.30 petang.
Turut dijangka menjadi tumpuan perwakilan dan penyokong parti, bahkan pemerhati politik, adalah permuafakatan antara dua pemimpin utama parti yang mengetepikan perbezaan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berlaku pergeseran politik antara mereka dan penyokong masing-masing.
Semalam, hari kedua kongres tahunan menyaksikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 berlangsung serentak dalam suasana yang berbeza apabila kongres sayap AMK dicemari insiden kekecohan.
Kongres Nasional PKR ke-14 itu akan berakhir esok.
-- BERNAMA
#Angkatan Muda Keadilan
#Anwar Ibrahim
#Kongres Nasional PKR 2019
#Kongres Nasional Wanita
#MITC
#pergeseran politik
#PKR
#Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka
#rai 20 tahun reformasi
#Saifudin Nasution Ismail