Dua bekas ADUN PKR Kedah berdepan tuntutan RM10 juta

Adie Sufian Zulkefli
Mei 12, 2020 07:29 MYT
JOHARI: PKR akan kemukakan tuntutan sebanyak RM10 juta setiap seorang atas pengkhianatan yang mereka lakukan ini. - Gambar fail
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kedah yang mengumumkan keluar parti pada Selasa berdepan tuntutan RM10 juta seorang.
Demikian ditegaskan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Johari Abdul yang menyifatkan tindakan ADUN Lunas Azman Nasrudin dan ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee itu sebagai mencabuli mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Saya ingin memaklumkan di sini bahawa sebelum kedua-dua mereka ini menjadi calon, mereka telah pun berikrar, berjanji dan menandatangani dokumen.
“Iaitu, sekiranya mereka keluar parti dan melompat parti, maka mereka berhadapan dengan tindakan. PKR akan kemukakan tuntutan sebanyak RM10 juta setiap seorang atas pengkhianatan yang mereka lakukan ini," kata Johari.
Terdahulu pada Selasa, Azman dan Robert mengumumkan keluar parti atas alasan hilang keyakinan terhadap parti.
Kedua-duanya turut menyuarakan jangkaan akan bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mereka juga berjanji akan menyokong pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
BACA: ADUN Kuah, Ayer Hangat sahkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz
BACA: Dua ADUN Kedah dari PKR keluar parti, sokong kerajaan PN
BACA: 19 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz
Johari berkata, beberapa siri tindakan disiplin sama ada penggantungan atau pemecatan ahli dibuat PKR sejak kebelakangan ini susulan parti itu sudah tahu ada pihak yang cuba 'mengkhianati' perjuangan.
Terdapat 36 kerusi DUN di Kedah, dengan PKR kini memegang lima, Bersatu (enam), Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua).
Pas dan UMNO masing-masing mempunyai 15 dan dua kerusi.
BACA: Muhammad Sanusi dijangka MB Kedah baharu?
BACA: Kerajaan PH Kedah tumbang?
Hanya dua kerusi diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan negeri baharu dengan pemerhati politik menjangkakan calon Menteri Besar baharu adalah dari Pas.
Antara nama-nama ADUN Pas yang disebut-sebut bakal menggalas jawatan utama pentadbiran kerajaan negeri itu ialah Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
#ADUN #DAP #Kedah #keluar parti #kerajaan #lompat parti #mencabuli mandat #Menteri Besar #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PAS #pembangkang #pengkhianatan #pilihan raya umum #PKR #politik #tuntutan #UMNO
;