Dua ADUN tuntut MB Kelantan mohon maaf dalam tempoh seminggu

Bernama
Ogos 20, 2023 14:51 MYT
Kedua-dua mereka telah mengarahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan maaf tersebut kepada Mohd Nassuruddin (gambar). - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan memberi tempoh tujuh hari kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap dakwaan mereka menolak perjuangan Islam.
ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dari Pakatan Harapan (PH) dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dari Barisan Nasional (BN) menyatakan tindakan memfailkan saman sivil di mahkamah akan dilakukan jika permohonan maaf berkenaan gagal dibuat.
Mohd Syahbuddin berkata kenyataan sedemikian adalah budaya takfiri yang boleh memecah-belahkan rakyat dan masyarakat negara ini.
"Kami tersinggung dengan pernyataan Menteri Besar ini yang saya anggap sebagai melampau dan ekstrim dan ia mewakili 10,742 rakyat Galas yang mengundi BN dan 9,691 rakyat Kota Lama mengundi PH," katanya dalam sidang media bersama Dr Hafidzah, di sini, hari ini.
Mohd Nassuruddin dalam satu rakaman video yang tular mendakwa kemenangan Pas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 12 Ogos lepas adalah kemenangan perjuangan Islam serta menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN sebagai pihak yang 'menentang perjuangan Islam.'
Dalam pada itu, Dr Hafidzah berkata kenyataan tersebut tidak sepatutnya diungkapkan kerana Mohd Nassuruddin sebelum ini menyatakan mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
"Ini bertentangan dengan semangat federalisme, tidak menghormati langsung bahawa dalam negara demokrasi kita ada pilihan rakyat untuk memilih dan kita akan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyemak dan imbang dalam Dewan, sedangkan peringkat tertinggi memandang serong kepada kita," katanya.
Kedua-dua mereka telah mengarahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan maaf tersebut kepada Mohd Nassuruddin.
Pas berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Kelantan.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata tiada keperluan untuk beliau memohon maaf berhubung perkara itu seperti yang dituntut oleh dua ADUN berkenaan.
"Minta maaf itu jika kenyataan itu salah, tiada orang yang meminta maaf kalau benda tidak salah. Dalam ucapan itu saya sebut perjuangan Islam, saya tidak sebut mereka lawan Islam.
"Boleh teliti semula ucapan itu jelas dan nyata. Perjuangan Islam dan lawan Islam itu dua perkara yang berbeza...jangan pusing mengatakan saya menyebut mereka menentang Islam, boleh dengar elok-elok," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pendahuluan kepada mangsa ribut di Masjid Mukim Kota, di sini, hari ini.
-- BERNAMA
#ADUN Kelantan #permohonan maaf #menteri besar kelantan #Mohd Nassuruddin Daud #Hafidzah Mustakim #Mohd Syahbuddin Hashim
;