Dua ADUN DAP, bekas senator umum keluar parti
Radhi Muslim, Eleanor Michelle Patrick
Januari 21, 2022 09:30 MYT
Januari 21, 2022 09:30 MYT
KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang bekas senator mewakili DAP Sabah mengumumkan keluar parti malam tadi.
Tindakan itu diambil, antara lain, kerana kegagalan parti melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka yang terbabit ialah ADUN Elopura Calvin Chong Ket Kiun, ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin dan Adrian Lasimbang.
"Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik, malah lebih penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.
"Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, mereka turut meluahkan rasa kecewa terhadap kepemimpinan DAP Sabah yang didakwa gagal memimpin parti di bawah pengerusinya Datuk Frankie Poon Ming Foon.
Parti itu turut didakwa sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya.
"Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta," kata mereka lagi.
Susulan tindakan yang diambil dua ADUN berkenaan, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).
Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.
DAP Sabah menjadi parti pembangkang kedua yang kehilangan ADUN selepas Parti Warisan Sabah, berikutan tindakan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan.