Dr Wan Azizah seru anak muda keluar tunai tanggungjawab Sabtu ini

Bernama
Ogos 10, 2023 18:27 MYT
Dr Wan Azizah berkata, rakyat harus menanam keazaman bagi bersama-sama membangunkan negara termasuk dengan memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membangunkan negeri dan negara. - Gambar fail/Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pengundi khususnya anak muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Beliau berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, rakyat harus menanam keazaman bagi bersama-sama membangunkan negara termasuk dengan memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membangunkan negeri dan negara.
"Kita sama-sama bangunkan negara kita. Tiap-tiap pengundi ada tanggungjawab kerana undi itu penting. Keluar undi beramai-ramai," katanya ketika berucap pada Program Semarak Merdeka Peringkat Kawasan Rukun Tetangga Zon Sidam di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh menerusi media sosial, sebaliknya sentiasa menyiasat terlebih dahulu kesahihannya.
"(Erti) merdeka kena luas, jangan terkongkong sebab kita ini hidup dalam dunia yang makin mengecil...apa-apa ilmu atau maklumat yang didapati, kena periksa kesahihannya," katanya.
-- BERNAMA
#PRN #Wan Azizah Wan Ismail #Suruhanjaya Pilihan Raya #anak muda diseru keluar mengundi
;