Dr Subramaniam nafi mesej Whatsapp berhubung debat krisis MIC
Bernama
Mac 17, 2015 17:42 MYT
Mac 17, 2015 17:42 MYT
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini menafikan mesej tersebar melalui aplikasi sosial WhatsApp bahawa beliau akan berdebat dengan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berhubung kemelut yang sedang melanda parti itu.
Menegaskan kandungan mesej itu tidak perlu diambil serius, Menteri Kesihatan itu berkata kemelut parti seharusnya diselesaikan dalam semangat kekeluargaan yang didukung oleh Barisan Nasional (BN).
"Ini bukan satu isu (melibatkan) parti BN dan pembangkang, tetapi isu keluarga, yang kami tidak perlu bawa sampai ke tahap macam itu (berdebat). Ia (masalah ini) kena selesai dalam suasana kekeluargaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula susulan laporan berlaku penyelewengan dalam pemilihan parti 2013. Palanivel dan empat lagi pemimpin MIC telah memohon semakan kehakiman terhadap perintah RoS itu.
Dr Subramaniam, ketika ditanya tentang pemilihan semula itu, berkata RoS sedang melakukan proses pemutihan terhadap cawangan MIC dan menurutnya proses itu djangka mengambil masa antara seminggu atau dua minggu.
Mahkamah Tinggi menetapkan 20 Mac ini untuk menyampaikan keputusan berhubung
bantahan awal terhadap permohonan MIC bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman.