"Dr Mahathir tak beri nasihat yang baik kepada pembangkang" - Fahmi

Hilmi Malik
November 28, 2023 17:46 MYT
Fahmi berkata, Dr Mahathir sepatutnya membawa pemimpin pembangkang ke meja rundingan bagi menyelesaikan isu peruntukan ahli Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa tidak menjadi penasihat yang baik di empat negeri yang berada di bawah pemerintahan parti pembangkang termasuk membabitkan isu peruntukan ahli Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Dr Mahathir yang dilantik sebagai penasihat tidak rasmi sewajarnya membawa kumpulan itu ke meja rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri.
“Sebagai penasihat (Tun Mahathir) kepada beberapa negeri yang diperintah oleh pembangkang, saya mohon Tun Mahathir menasihati mereka datang ke meja rundingan dan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof).
"Capai kata putus supaya kita selesaikan isu ini (peruntukan). Sepatutnya beliau sebagai penasihat, menasihati mereka (negeri pembangkang) untuk datang ke meja rundingan seperti yang diumumkan Perdana Menteri beberapa kali di dalam Parlimen.
“Saya rasa dia (Tun Mahathir) tidak berikan nasihat yang bagus kepada mereka (negeri pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program “PNB Cyber Day” di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, isu peruntukan ahli Parlimen pembangkang menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai tidak adil dari segi pengagihannya.
Malah, beberapa ahli Parlimen pembangkang mendakwa masih tidak menerima sebarang peruntukan ahli Parlimen sehingga kini bagi tujuan pembangunan di kawasan mereka.
Sementara itu, Dr Mahathir yang menjadi penasihat tidak rasmi kepada negeri-negeri pembangkang mendakwa peruntukan kepada Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar adalah rasuah.
Anwar sebelum ini menafikan melakukan sogokan terhadap beberapa ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap beliau demi mendapatkan peruntukan.
Dr Mahathir sebelum ini dilantik menjadi penasihat tidak rasmi untuk empat negeri pembangkang iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Bekas Perdana Menteri itu difahamkan akan memainkan peranan secara tidak rasmi dalam menasihatkan kumpulan empat negeri berkenaan termasuk aspek tatakelola yang berkesan.
#Kerajaan Perpaduan #Mahathir Mohamad #Fahmi Fadzil #peruntukan
;