Dr Mahathir pilih Putra untuk terus perjuang hak orang Melayu
Bernama
Mac 1, 2023 21:36 MYT
Mac 1, 2023 21:36 MYT
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai platform untuk memperjuangkan hak orang Melayu tanpa mengenepikan kepentingan kaum lain.
"Walaupun umur saya 97 tahun, hati saya masih lagi dengan perjuangan orang Melayu. Kedudukan orang Melayu sekarang ini lebih banyak masalah dari kaum-kaum lain. Ini bukan kerana perkauman.
"Kita perlu melihat orang Melayu dapat bahagian mereka dalam keadaan di negara kita (yang mana) mereka sekarang ini tidak menguasai ekonomi dan politik. Kalau kita tak selamatkan orang Melayu, negara kita akan hadapi masalah kepincangan," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kad keahlian dan watikah Penasihat Putra yang disampaikan oleh Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali, di sini hari ini.
Pada 10 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau bersama 12 ahli lain keluar daripada parti Pejuang yang diasaskannya ekoran tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air.
Mengenai penyertaan Putra dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini, Dr Mahathir berkata ia akan diputuskan selepas perjumpaan dengan kepimpinan tertinggi Putra.
"Kita akan timbang, banyak masalah kita hadapi antaranya kegunaan duit dalam pilihan raya. Kita tiada duit, kita tidak mahu pilihan raya dikuasai oleh orang yang ada duit saja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Putra Tan Sri Mohd Khalid Yunus berkata sejak tersebar kesediaan Dr Mahathir menyertai Putra, parti itu menerima lebih 1,000 permohonan ahli baharu.
Beliau juga berkata Putra telah menetapkan 7 Mac hingga 6 April untuk mengadakan mesyuarat agung bahagian, 7 Mei untuk persidangan perwakilan peringkat pusat, manakala pemilihan barisan kepimpinan dicadangkan pada 8 April ini.
-- BERNAMA