Dr Mahathir hadiri perjumpaan tertutup bersama Pimpinan Bahagian Bersatu Johor
Bernama
Julai 5, 2019 23:56 MYT
Julai 5, 2019 23:56 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pimpinan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, di sebuah hotel, di Senai, dekat sini malam ini.
Ketibaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu pada 9.20 malam itu disambut Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.
Turut hadir pada perjumpaan tertutup itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik.
Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut menghadiri taklimat tertutup IRDA di hotel sama.
Taklimat berhubung perkembangan kawasan wilayah Iskandar Malaysia itu disampaikan Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim.
Turut hadir pada taklimat bermula 8 malam berkenaan, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Bersama IRDA Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan Johor yang juga Ahli Lembaga IRDA Datuk Azmi Rohani.
Petang tadi, Dr Mahathir turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna, Johor Jaya, dekat Johor Bahru.
-- BERNAMA
#Bersatu Johor
#Iskandar Malaysia
#Mahathir Mohamad
#Perjumpaan Khas
#perjumpaan tertutup
#Pimpinan Bahagian
#sahruddin jamal