Dr Mahathir bimbang bakat tempatan tidak dipandang pegang jawatan penting

Bernama
Disember 8, 2014 14:49 MYT
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Mueller sebagai CEO MAS NewCo berkuat kuasa 1 Januari 2015. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap tidak percaya terhadap kepakaran rakyat tempatan dalam pelantikan jawatan penting.
Menurutnya, Malaysia mempunyai banyak bakat berkebolehan yang boleh digilap.
"Kita ada banyak 'talent' (bakat) dalam negara ini. Tapi nak panggil konsultan pun orang asing. Nak jadi 'director' (pengarah) pun orang asing," katanya mengulas pelantikan Christoph R.Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo).
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu, selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kualiti Islam 2014 anjuran Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Mueller sebagai CEO MAS NewCo berkuat kuasa 1 Januari 2015.
Berasal dari Jerman, Muller kini adalah CEO Aer Lingus, syarikat penerbangan nasional Ireland, sejak 2009 dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan.
Dr Mahathir berkata kemakmuran negara yang dikecapi selepas kemerdekaan adalah hasil kepimpinan rakyat tempatan sendiri.
"Saya ingat orang Malaysia ini tidak bodoh. Pada zaman (penjajhan) British dulu, kita sebuah negara yang cukup kolot, miskin. Kita jadi kaya, kita dapat membangun selepas kita merdeka, dipimpin oleh orang Malaysia," katanya.
#Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad #Christoph R.Mueller #Ketua Pegawai Eksekutif #Malaysia Airlines Bhd #MAS NewCo
;