Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

Astro Awani
Julai 5, 2019 19:46 MYT
Dr Mahathir hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu negeri di Dewan Johor Jaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.
Dr Mahathir berkata setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.
"Kalau kita (orang Melayu) berpecah kita akan jadi lemah kerana kalau bercerai roboh, bersatu teguh.
"Sekarang ada pihak yang nak tubuh parti baru lagi, dah jadi enam parti Melayu, tidak lama lagi boleh sampai 10 atau 100 parti Melayu.
"Satu parti ada 30 orang ahli macam mana nak menang?" katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Bersatu Johor di Johor Jaya, pada Jumaat.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri mengajak semua ahli dan pemimpin parti Melayu menyertai Bersatu, parti yang ditubuhkannya selepas keluar UMNO.
"Ya masuk Bersatu, sekarang saya ajak semua masuk Bersatu, dulu saya suruh masuk UMNO tapi sekarang masuk Bersatu.
"Semua masuk Bersatu, kita ramai kita jadi kuat tapi jangan sekat orang lain nak masuk," katanya lagi.
Sebelum itu dalam ucapannya, Dr Mahathir meminta semua ahli Bersatu supaya berpegang dan setia pada perjuangan parti dan bukan menyertainya kerana pengaruh seorang pemimpin.
#bergabung #Bersatu #Mahathir Mohamad #Melayu #parti politik Melayu #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pecah belah
;